Friday, October 7, 2011

Hargailah Hadiah sang Kekasih ~ Bicara Sang Faqir


Wahai diriku,

Pandanganmu, pendengaranmu, akalmu, perasaanmu tak akan mampu mengungkap rahsia kehidupanmu. Rahsia nafasmu tiada mampu engkau bicarakan walaupun ia yang menyebabkan segala anggota badanmu berfungsi. “Siapakah” nafas itu? Adakah ia ruh atau limpahan ruh atau nyawa? Dari mana bermula pergerakan nafas dan dari alam mana ia datang dan ke mana menghilang selepas kematian?


Kerana kelemahan ini, Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam diutuskan sebagai Nur bagi sekelian umat, pencinta bagi sekelian manusia dan jin, meninggalkan mukjizat Baginda iaitu Al-Quran untuk ditafakur dan ditadaburkan.


Wahai umatku,

Melihatlah engkau, mendengarlah engkau, berfikirlah engkau, merasalah engkau dengan cahaya yang ku tinggalkan padamu. Ia membawa matamu melihat gambaran yang tak mampu matamu melihat, membawa telingamu kepada suara yang tak mampu engkau mendengar, memberi jawaban yang akalmu tak mampu memecahkan jawaban, membawa perasaanmu kepada merasai hakikat kebenaran. Barangsiapa hidupnya bersuluh dengan cahaya ini, ia tiada akan sesat selamanya.


Wahai diriku,

Kembalilah kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Baginda adalah cahaya sebagai penyelamat yang diutus oleh Allah kepada sekelian hambaNya. Keseronokan yang kamu sangka syurga adalah neraka, kebebasan yang kamu sangka bebas adalah penjara, kesakitan yang kamu lihat bagaikan neraka adalah syurga. Tiada manusia yang teguh agamanya membunuh diri, tapi mereka yang hidup dalam dunia 'kebebasan dan keseronokan' ramai yang membunuh diri tanpa sebab, walaupun kehidupannya dikelilingi pelbagai kemewahan.


Manusia boleh menipu orang lain, tapi mereka tak mampu menipu diri sendiri. Mereka ketawa dalam tangisan, mereka bermegah dalam ketakutan. Kemewahan dunia tiada mampu mententeramkan jiwa. Larilah dari hidup kepura-puraan, tiada apa yang untung malah kerugian dan kerugian. Cintailah mukjizat Rasulmu dan dakaplah ia bagaikan nyawamu dan ia adalah permata yang paling berharga dari segala yang ada di dunia ini. Tanpanya engkau akan terus tertipu dengan matamu, telingamu, akalmu dan perasaanmu. Kamu hidup dalam dunia anggapan, persepsi, khayalan dan kemungkinan. Rugilah dirimu jika segala apa yang kamu anggap benar itu tiada benar, apa yang kamu anggap kebaikan itu adalah keburukan.


Maka hargailah dengan sepenuhnya wahai diriku akan lembaran cahaya hadiah kekasihmu Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang diambilnya dari Tuhan Pencipta dirimu!



Bicara Sang Faqir, Isnin, 3 Oktober 2011
~Walid~

No comments:

Post a Comment

(",)Wa atamanni hazihi ukhuwah 'ala ridhwanihi..