Tuesday, October 11, 2011

Duka Yang Sirna [Keindahan Cinta Hakiki ~ Bicara sang Faqir]


Ya Ilahy..

Engkaulah Yang Maha Jamal..

CantikNya Engkau Ya Allah.. Ya Allah..


Ya Allah…

IndahNya Engkau..

Sehingga saat sukar juga menjadi Indah..

Saat pahit menjadi Indah..

Saat duka menjadi Indah..

Saat kecewa menjadi Indah..

Sesungguhnya...!!

Maha JamalNya Engkau..

Begitulah CantikNya Engkau Ya Ilahy..

Sehingga segala kesusahan & kepayahan menjadi sirna kerna..

JamalNya Engkau..


Ya Allah..

Begitulah mata ku diperlihatkan Mu..

Telinga ku diperdengarkan Mu..

Memandang segala yang datang dari Mu..

Semuanya Indah, Cantik..

Meskipun pada mata zahir melihatnya derita..

Tetapi mata batin melihatnya Indah..

Sesungguhnya telah sirnalah derita itu kerna..

JamalNya Engkau..


Ya Allah..

Tuhan Yang Maha Berkasih Sayang..

Mustahil yang datang darimu menyakitkan!

Melukakan..!

Menderitakan..!

Sesungguhnya segalanya enak!

Nikmat!

Lazat!

Bahagia!

dan telah sirnalah derita itu…

Kerna..

JamalNya Engkau..

Ya Allah…




------------------------------------------------------------------------

~Bicara Sang Faqir yang di kasihi~

Apabila Jamal Nabi Yusuf a.s melalui para wanita, maka semua mereka terkaku.

Segala keindahan yang lain lenyap.


Begitulah jiwa seorang hamba yang ditajallikan sifat Jamal Allah.

Maka semuanya terkaku.

Segala keindahan yang lain lenyap dalam jiwa sang hamba.

Maka jadilah ia pemuja dan pencinta Allah yang hakiki.


Cinta pada perasaan kerana tiada tajalli yang haq.

Pengenalan mereka kepada Allah hanyalah khayalan bukan kebenaran.

Syaitan, makhluk, nafsu dan dunia boleh menghilangkan cinta tersebut kerana ia hanya bertapak dalam perasaan.


Jika benar cinta itu dalam hatimu, maka engkau akan tiada peduli lagi dengan nilai bumi yang rendah.

Engkau akan berpegang pada cintamu.

Bahkan engkau akan sanggup membayarnya walau mahal sekalipun!

~Walid~

Saturday, October 8, 2011

Air Kebahagiaan ~ Bicara Sang Faqir

Siti Hajar pernah berulang kali berlari antara Safa dan Marwah mencari air, namun tiada ditemui melainkan semuanya bayangan. Akhirnya Allah menunjukkan bahawa air yang sebenar berada di bawah kaki Nabi Ismail a.s.

Begitulah dapat ku kiaskan wahai anakku, “Air Kebahagiaan” tiada dapat kau temui walau dimana jua, semuanya bayangan dan kepalsuan bagaikan fatamorgana.

“Air Kebahagiaan” hanya berada di bawah kaki perjalanan para Nabi a.s, kemudian terhimpun di bawah kaki Rasulullah s.a.w, seterusnya melimpah pada kaki para Pewaris Baginda s.a.w yang benar.

Sesungguhnya air itu akan memancar ke dalam jiwamu tanpa kering!



Bicara Sang Faqir, Isnin, 8 Oktober 2011
~Walid~

Friday, October 7, 2011

Kembara Cinta Agung ~ Bicara Sang Faqir


Jangan engkau hidup untuk memuaskan jiwa manusia. Engkau tidak akan dapat sempurnakannya malah engkau akan kecewa dihujungnya.

Hiduplah untuk kebahagiaan diri dengan membangunkan sebuah Cinta Agung, cinta itu hanya ada pada Allah dan Rasul.


Para sahabat r.a mencari cinta dengan menjadikan diri dan keluarga mereka sebagai tebusan pada Rasulullah s.a.w.


Syaikh Abdul Qadir Jailani mencari cinta selama 20 tahun di dalam hutan yang sepi.

Syaikh Ibrahim Adham mencari cinta dengan meninggalkan istananya.

Syaikh Bahauddin Naqsyabandi mencari cinta dalam kesejukan salji yang mengigil.

Syaikh Ibnu Mubarak mencari cinta dengan darah di medan perang.

Syaikh Hassan asy-Syazili mencari cinta dalam mujahadah syukur.

Rabi’ah ‘Adawiyah mencari cinta dengan berlapar dan berjaga waktu malam.

Imam Al-Ghazali mencari cinta dengan berkhadam membasuh kandang kuda, berkelana, menyepi jauh di sudut masjid dan menulis kitab.

Syaikh Junaid Al-Baghdadi mencari cinta dengan sedekah, makan bersama dengan kucing dan bertafakur sepanjang malam.

Syaikh Ahmad Al-Qusyasyi mencari cinta dengan menggerakkan dakwah di Nusantara.

Syaikh Muhammad Al-Baghdadi mencari cinta dengan mengembara membawa risalah Islam di bumi yang ada penyembah berhala.


Para pengembara cinta ini melalui pelbagai jalan. Merekalah pengembara cinta yang benar, mereka hidup untuk cinta dalam diri mereka, bukan mencari cinta sesiapa.

Wahai diri,


Pekakkan telinga, butakan mata, bisukan lisan, tangan didakap pada dada, kaki disilang kemas, perut dikempiskan, akal disatukan dengan hati, bibir mengungkap kalimah agung - serapkan ke seluruh nadi dan darah, nafas dimusyahadahkan. Renunglah ke dalam diri kerana pada diri memiliki ayat-ayat cinta dari Rabb.


Jangan disia-siakan kehidupan ini dengan mencari cinta nafsu yang membinasakan. Hiduplah untuk diri demi cinta yang hakiki. Ia sudah ada dalam dirimu bermula apabila engkau diciptakan.


Disitulah engkau akan temui titik kebahagiaan mu di dunia dan akhirat.


Beruntunglah... beruntunglah mereka yang memilikinya!


Bicara Sang Faqir, Isnin, 7 Oktober 2011
~Walid~

Hidup Bertongkat Iman ~ Bicara Sang Faqir


Wahai diriku yang mengeluh,
Sedarlah bahawa engkau tiada berhak mengeluh, tapi engkau wajib bersyukur dan bersabar. Kehidupan, jiwa dan dirimu bukan milikmu.
Engkau tiada mencipta dirimu, maka engkau tiada hak mutlak atas ke atasnya. Engkau dimiliki sepenuhnya Penciptamu Yang Maha Agung. Justeru, tiada engkau mampu mencipta segala yang engkau inginkan.
Iradah Ar-Rahman mengawalmu bagaikan kanak-kanak yang dalam pengawasan ibubapanya. Segala kemahuannya akan dikawal mereka kerana sang bayi tiada tahu untuk memilih; yang buruk disangka baik, yang baik disangka buruk.
Kebutaan inilah yang perlu engkau bersifat redha, sabar dan syukur kerana berpegang pada satu keyakinan yang kukuh bahawa “Penciptamu tiada sekali-kali menzalimi hambaNya, segala takdirNya penuh rahsia dan hikmah".
Beruntunglah mereka yang “buta” yang mengambil iman sebagai tongkatnya. Ia berjalan dengan mata iman sehingga tiada terjerumus dalam lubang kebinasaan, dan nafsunya lemah terpadam. Ia menikmati syurga dunia sebelum mengecapi syurga akhirat.
Beruntunglah dan beruntunglah!


Bicara Sang Faqir
, Isnin, 6 Oktober 2011
~Walid~

Pakaian sang Faqir ~ Bicara Sang Faqir


Jika mahu mencapai cinta, tanggalkan pakaian kesombonganmu, tinggalkan dirimu.Wujudmu adalah dosa kerana ia pendinding yang paling besar dalam mencapai Makrifat pada Allah.
Maka ambillah pakaian tujuh persalinan ini iaitu :
1. Zalim
2. Hina
3. Jahil
4. Lemah
5. Faqir
6. ‘Adam (tiada)
7. ‘Abdiah (kehambaan)

Jika engkau benar memakainya, engkau akan mencapai hakikat cinta dan makrifat.
Maka gabungkan ia dengan tujuh tunjang bagi segala amalan yang dihimpun oleh para kekasih Allah - Ia menjernihkan jiwa, mendatangkan cahaya, membuka cinta yang terpendam dan menguatkan pancaran Makrifat.

1. Perbanyakkan Taubat
2. Perbanyakkan Selawat
3. Perbanyakkan Zikir pada lisan dan sir
4. Perbanyakkan Tafakur sehingga menyatu dalam rasa
5. Perbanyakkan munajat
6. Sentiasa Syuhud hati pada Allah
7. Menunaikan hak sesama makhluk.


Bicara Sang Faqir, Isnin, 4 Oktober 2011
~Walid
~

Bicara Dalam Tiga Bahasa ~ Bicara Sang Faqir


Wahai diri,

Dirimu hanya ada tiga bahasa dalam kehidupan sebagai sang hamba;
1. Ikhlas setulus jiwa mu
2. Beramal dengan bersungguh tanpa jemu
3. Ikhtiar sebaiknya dalam mendapat yang terbaik.

Maka yang lain bukan lagi dalam kuasa dirimu,
Serahkan segala padaNya dengan apa yang ditentukan padamu,
Dia yang memiliki dirimu dan dia yang lebih berhak pada dirimu,

Maka siapa dirimu untuk persoalkan Dia,
Jika benar cinta ada dalam dirimu,
Engkau akan pasrah segalanya padaNya,
Kerana engkau menyakini Sang kekasih Yang Maha Agung
tiada akan membinasakan para kekasihnya,

Hanya para kekasih yang benar akan memahami bahasa cintanya,
Orang yang tiada berada dalam kamar cinta tiada akan memahaminya,
Semua para pencinta adalah gila bagi pandangan mereka yang tiada berada dalam cinta.

Maka itulah kebenaran cinta,
Jika tiada mahu dianggap gila, bodoh, jahil dan hina,
Jangan sesekali terjun dalam lautan cinta yang agung ini.


Bicara Sang Faqir, Isnin, 3 Oktober 2011
~Walid
~